Monday, March 21, 2011

CARA (KOMUNIKASI ISLAM) YANG DAPAT MENDEKATI GOLONGAN REMAJA

Gejala sosial seperti mat rempit, penyalahgunaan dadah, ajaran sesat dan keruntuhan akhlak semakin menular dalam masyarakat Islam hari ini khususnya dikalangan belia. Proses tarbiah golongan belia dan remaja di zaman yang penuh mencabar ini sepatutnya bermula di masjid. Sepatutnya proses tarbiah rohani golongan pelapis kepimpinan negara ini dilaksanakan dengan penuh bersistem dengan berlandaskan methodologi dakwah yang bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk mengimarahkan masjid. Namun persoalannya, institusi masjid di negara ini tidak dilihat sebagai apa yang disifatkan sebagai mesra belia.

Selain itu, golongan belia dan remaja juga dilihat semakin menjauhi masjid kerana pihak jawatankuasanya yang belum bersedia melakukan anjakan paradigma . Ini termasuk kurangnya usaha menarik minat golongan belia ke masjid. Pihak Jawatankuasa masjid harus lebih terbuka melalui kepelbagaian aktiviti dakwah kontemporari. Adakalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ianya tidak bersalahan dengan methodologi dakwah. Aktiviti dan program yang berbentuk riadhah dapat menarik minat belia perlu diperbanyakkan lagi. Aktiviti sebegini merupakan satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan merupakan ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani disamping beriadhah.

Paling penting bagi mewujudkan pengurusan masjid mesra belia, maka sudah pastilah pihak pengurusan masjid harus melakukan perubahan serta membuka ruang perbincangan untuk menjadikan masjid sebagai sebahagian daripada pusat latihan dan tarbiah remaja serta belia. Mereka harus memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda di masjid. Maka sudah pasti keterbukaan ini memerlukan lebih ramai lagi ahli jawatankuasa masjid dilantik dari kalangan pemuda dan remaja bagi memudahkan penyaluran idea dan maklumat. Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan pemerkasaan jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan modal insan kelompok bakal pemimpin negara ini.

No comments:

Post a Comment